Luangkan masa anda menghayati pantun di bawah :
Jarum emas letak di para,
Letak dalam talam suasa;
Melayu terkenal di Nusantara,
Kaya dengan warisan budaya.
Asam gelugur si asam paya,
Diguna orang penyedap rasa;
Hidup beradat amalkan budaya,
Berhemah tinggi berbudi bahasa.
Malam hari mencari pinang,
Jangan lupa bawa pelita;
Kain pua, tenunan Pahang,
Tenunan asli warisan kita.
Pokok rumbia tumbuh di paya,
Daun diguna berteduh panas;
Baju kurung baju kebaya,
Tak lapuk dek hujan tak lekang dek
panas.
Kalau berakit ke Kampung Hulu,
Kayuhannya jauh penat terasa;
Kuih dodol kuih buahulu,
Enak dimakan sepanjang masa.
Pokok pinang pokok kelapa,
Buah durian sedapnya terasa;
Keris dan lembing janganlah lupa,
Pembela diri tinggalan bangsa.
Pucuk ubi, sayur bendi,
Hidangan disantap di tengah hari,
Dimasak lemak, gulai keladi
Rendang Tok masih digemari.
Daun mengkuang si daun pandan,
Di tengah laman dibiar layu,
Cembul tembaga dan tepak berdandan,
Pemula bicara orang Melayu.
Jiran tetangga datang berjumpa,
Duduk bertandang di atas beranda;
Adat yang lama janganlah lupa,
Itu sahaja yang kita ada.
Untuk makluman pembaca budiman pantun di atas telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Mengarang Pantun sempena Program Memartabatkan Bahasa Melayu di Kolej Matrikulasi Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 19 hingga 28 September 2012.

Pantun Warisan Bangsa

2 Suara Merdu:
blog yang baik & mampu memberi input yang berguna kepada guru2 bahasa Melayu...syabas.
blog yang menarik dengan info yang bermanfaat.
Post a Comment